Sunday 14 December 2008

Silsilah Soal Jawab Aqidah_1

Sumber: Malaysia Salafi

بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh: Al Ustadz Abu Auzaie

Dipetik daripada kitab : 200 soal jawab tentang akidah Islam karangan Syaikh Hafiz ibnu Ahmad Hakami

Soalan : Apakah kewajipan yang pertama ke atas hamba-hamba?

Jawapan : Kewajipan yang pertama sekali ke atas hamba-hamba ialah mengetahui perkara yang menjadi sebab Allah mencipta mereka, mengambil perjanjian yang teguh daripada mereka dan sebab Allah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitab kepada mereka. Perkara yang yang menjadi sebab dicipta dunia dan akhirat, syurga dan neraka, berlakunya kiamat, diletakkan neraca timbangan amalan dan dibentangkan lembaran amalan. Ketentuan kesengsaraan dan kebahgiaan, dibahagikan cahaya (petunjuk-penterjemah) juga berdasarkan perkara tersebut. Barangsiapa yang tidak diberikan cahaya oleh Allah maka tiadalah cahaya buatnya.



Soalan : Apakah perkara yang menjadi sebab Allah mencipta makhluknya?

Jawapan : Firman Allah :

وما خلقنا السموات والأرض وما بينهما لاعبين 0 وماخلقنا هما الا بالحق ولكن أكثرهم لا يعلمون

Maksudnya : “dan Aku tidak jadikan langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya dengan bermain-main 0 Aku tidak mencipta kedua-duanya melainkan dengan kebenaran akan tetapi kebanyakkan mereka tidak mengetahui” - Ad-Dukhan ayat 38. Firman Allah:

وما خلقنا السماء والأرض وما بينهما باطلا ذلك ظن الذين كفروا

Maksudnya : “dan Aku tidak mencipta langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya secara batil(sia-sia). Yang demikian itu adalah sangkaan orang-orang yang kufur..” - Shod ayat 27. Firman Allah :

وخلق الله السموات والأرض بالحق ولتجزى كل نفس بما كسبت وهم لا يظلمون

Maksudnya : “Allah mencipta langit dan bumi dengan kebenaran dan untuk diberikan pembalasan kepada setiap jiwa dengan apa yang dia kerjakan dan mereka tidak akan dizalimi” - Al-Jathiyah ayat 22. Firman Allah :

وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون

Maksudnya : “dan Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan untuk mereka melakukan ibadat kepadaku” - Az-Zariyat ayat 56



Soalan : Apakah makna hamba?

Jawapan : Perkataan ‘hamba’ sekiranya membawa maksud yang ditundukkan maka ia merangkumi kesemua makhluk yang ada di langit dan di bumi sama ada yang berakal atau tidak, yang basah(hidup) atau kering(mati), yang bergerak atau tidak bergerak, yang zahir dan yang tersembunyi, yang beriman atau kafir, yang baik atau jahat dan lain-lain lagi. Kesemuanya adalah makhluk (ciptaan) Allah ‘azza wa jalla yang tunduk di bawah kuasa dan pentadbirannya. Setiap dari perkara ini ada garisan dan batasan untuk ia berhenti di atasnya. Kesemuanya bergerak pada tempoh yang telah ditetapkan. Tidak sekali-kali mereka akan dapat melintasinya. “Itu merupakan ketentuan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” dan tadbiran Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Sekiranya perkataan hamba tadi membawa maksud hamba yang kasih dan tunduk maka ianya khusus kepada orang-orang mukmin yang merupakan hamba-hamba-Nya yang dimuliakan, wali-wali-Nya yang bertaqwa, yang tidak merasa takut (terhadap perkara yang akan terjadi dihadapan mereka-penterjemah) dan tidak merasakan kesedihan (terhadap apa yang mereka tinggalkan-penterjemah).



Soalan : Apakah ibadat?

Jawapan : Ibadat adalah nama yang meliputi setiap perkara yang dikasihi oleh Allah dan diredhio-Nya sama ada perkataan yang zahir dan batin (sama ada amalan hati, lidah dan perbuatan-penterjemah) dan membebaskan diri daripada perkara yang bertentangan dengannya.



Soalan : Bilakah amalan itu dikira sebagai ibadat?

Jawapan : Apabila cukup padanya dua perkara iaitu kesempurnaan rasa kasih dan kesempurnaan rasa tunduk (menghina diri dihadapan Allah-penterjemah). Firman Allah :

والذين آمنوا أشد حبا لله

Maksudnya : “dan orang-orang yang beriman amat kasih kepada Allah” - Al-Baqoroh ayat 165. Firman Allah :

والذين هم من خشية ربهم مشفقون

Maksudnya: “dan orang-orang yang gementar kerana takutkan kepada Rob mereka”- Al-Mukminun ayat 57. Allah telah menghimpunkan kedua-dua sifat ini dalam firman-Nya :

انهم كانوا يسارعون فى الخيرات ويدعوننا رغبا ورهبا وكانوا لنا خاشعين

Maksudnya : “sesungguhnya mereka (para nabi tersebut) bersegera dalam melakukan kebaikan dan berdoa kepadaKu dalam keadaan mengharap dan takut dan mereka itu tunduk dan khusyu’ kepada-Ku” - Surah Al-Anbiya ayat 90

No comments:

Post a Comment